Wednesday, December 9, 2009

Kempen Bertahajjud

Setiap amalan kita, sama ada yg baik atau yg kurang baik.. Semuanya diperhitung oleh Allah.
Tiada satu perkara pun yg dilakukan oleh makhluk di alam maya ini di luar pengetahuan Allah.
Dan setiap perbuatan yg kita lakukan, ada balasannya..

Dengan lafaz "Bismillah.." aku mulakan kempen tahajjud, utk diriku. Dan utk anda semua..
Moga aku istiqamah dlm beramal, insyaAllah.



Artikel diambil dari www.sepaku.net
Qiamullail - Penjana Jati Diri Mukmin

Mukaddimah


Fizikal, intelek, emosi dan rohani merupakan aspek utama dalam diri setiap insan. Fizikal dibina dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Akal pula dibina dengan menuntut ilmu. Manakala emosi pula dibina dengan mendidik dan membentuk hati supaya tergolong dalam kriteria mahmudah dan dijauhkan daripada sifat mazmudah. Rohani pula dapat dibina dengan memperbanyakkan Ibadan ruhiyyah ikhlas semata-mata kerana Allah.

Oleh itu Qiamullail merupakan salah satu cara membina rohani yang mantap dan seterusnya menjadi penjana jati diri setiap mukmin. Usaha ini tentunya memerlukan azam, kekuatan, ketabahan dan pengorbanan kerana nafsu, iblis dan tenteranya sentiasa berusaha memenuhi ruang dan peluang yang ada.

Pengertian

Qiamullail ialah bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah.

Sejarah Qiamullail

Pada awalnya qiamullail wajib bagi Rasulullah dan para sahabat. (Lihat surah al-Muzammil 1-10). Namun setelah setahun disyariatkan amalan itu menjadi sunat muakkad bagi setiap Amat Islam. Namur ia tetap wajib ke atas Nabi Muhammad S.A.W. (lihat surah al-Muzammil 20)

Hikmah Qiamullail

-Meningkatkan keimanan individu

-Meninggikan darjat di sisi Allah

-Dapat beribadah dengan lebih khusyuk

-Mendidik jiwa bersyukur dengan nikmat kesihatan dan nikmat waktu malam yang tenang

-Melatih diri menjadi insan bertakwa

-Melatih diri memperbanyakkan amalan sunat

-Mendidik jiwa melawan nafsu dan syaitan

-Menyedari bahawa manusia dicipta untuk beribadah

-Melatih diri mengharap keredhaan Allah

-Memberi ketenangan jiwa (emosi)

-Memberi kesihatan(fizikal)

-Menajamkan akal fikiran

-Meneguhkan kekuatan rohani

-Menambahkan rasa kekerdilan di sisi Allah dan bertawakkal kepada-Nya

-Melatih diri bersikap khauf(takut) dan roja’(berharap)kepada Allah

-Dan lain-lain lagi hikmah ganjaran Allah untuk hamba-Nya yang ikhlas dan istiqamah

Kelebihan Qiamullail

-Dimakbulkan doanya dan masin perkataan

-Tenang hati dan fikirannya

-Dimurahkan rezeki

-Dihormati masyarakat

-Dilindungi Allah daripada khianat manusia

-Jika dia pemimpin, dia akan disegani

-Dan banyak lagi (Perlu difahami bahawa segala kelebihan adalah nikmat Allah bergantung kepada rahmat Allah. Allah berhak mengurniakan apa sahaja yang dikehendakiNya).

Waktu-Waktu Qiamullail

Waktu untuk solat malam ialah selepas Isya’ sehingga sebelum masuk Subuh. Bagi solat Tahajjud, kita digalakkan untuk tidur dahulu walaupun seketika.

Waktu yang paling utama ialah sepertiga malam terakhir.



”Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang disukai oleh Allah ialah solat Nabi Daud. Baginda tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya (solat) lalu tidur seperenamnya. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

H.R. Jamaah selain At-Tirmizi

Panduan Bangun Awal

-Makan malam awal (sebelum Maghrib) dan tidak makan makanan yang berta selepas waktu Isya’.

-Tidak bekerja terlalu penat pada waktu siang

-Elakkan diri daripada melakukan maksiat

-Berniat ikhlas mengharap keredhaan Allah

-Membaca tiga ayat terakhir surah al-Kahfi dan niatkan dalam hati agar dapat bangun pada waktu yang diniatkan

-Mematuhi adab-adab tidur

Adab-adab Qiamullail

-Berniat sebelum tidur untuk Qiamullail

”Barangsiapa yang tidur sedang dia berniat akan bangun untuk bersolat di malam hari, tetapi dia terus tertidur hingga pagi, ditulis baginya apa yang telah diniatkannya dan tidurnya itu merupakan rahmat Allah kepadanya.”

H.R. an-Nasai dan Ibn-Majah

Sanad Dahih dairpada Abu Darda’ R.A.

-Tidur mengikut adab-adab yang digariskan

-Berdoa, bersuci, bersugi, berwudu’ dan memakai pakaian bersih setelah bangun daripada tidur.

-Keluar dan memandang ke langit lalu berdoa(rujuk buku panduan Qiamullail) dan membaca sepuluh ayat terakhir surah Ali-Imran.

-Memulakan solat malam dengan solat dua rakaat yang ringan, selepas itu solatlah seberapa banyak yang disukai.

-Membangunkan dan mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan turut serta berqiamullail.

”Apabila seseorang membangunkan isterinya di malam hari lalu kedua-duanya bersolat/bersolat dua rakaat bersama-sama, ditulislah baginya dalam golongan orang-orang yang mengingati Allah.”

H.R. Abu Daud

Sanad Sahih drpd Abu Hurairah R.A.

-Menghentikan solat dan tidur apabila mengantuk dan teruskan apabila hilang perasaan mengantuk.

-Beribadah sekadar yang mampu lalu dikekalkan (istiqamah) dan jangan ditinggal kecuali darurat.

-Muhasabah diri berkenaan amalan dan perjalanan hidup kita sepanjang hari.

Amalan-amalan sunat ketika Qiamullail

-Solat sunat Tahajjud

”dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam dan kerjakanlah solat tahajjud sebagai solat tambahan bagimu. Semoga tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari qiamat di tempat yang terpuji.”

Al-Isra’ 79

”Sebaik-baik solat selain daripada solat fardhu ialah solat malam”

H.R. Muslim

-Solat sunat tasbih, taubat, istikharah, hajat, mengqada’ solat fardhu, solat mutlak dan solat sunat yang lain.

-Solat witir

-Berzikir, bertasbih dan bertahmid

-Membaca al-Quran

-Dan amalan-amalan lain seperti muhasabah dan memikirkan keagungan dan kekuasaan Allah.

Penutup

Qiamullail merupakan sunnah Nabi, amalan para shiddiqin, orang-orang soleh dan golongan yang mengakui kehinaannya di sisi Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang dan sebaik-baik ganjaran, nikmat dan rezeki hanyalah Allah S.W.T.

Adakah kita tidak menyedari keutamaan mencontohi sunnah Rasulullah S.A.W? Adakah kita lupa kadar peratusan dosa dan maksiat yang tidak terhingga banyaknya dalam buku catatan di kiri dan kanan kita? Adakah amalan kita sudah mengatasi amalan para ’abid yang bermujahadah dengan ibadah malam mereka? Adakah kita lupa bahawa hanya amalan dan taqwa yang menjadi bekalan pada masa yang telah dijanjikan itu?... ... .

Marilah kita bersama-sama berusaha mempertingkatkan keilmuan, keimanan, ketaqwaan dan amalan kita agar kita sentiasa di bawah perlindungan dan inayah Allah S.W.T. dan seterusnya menghayati dan merealisasikan wawasan khoiru ummah dan menjadi khalifah yang menepati segala amanah yang dipikul..Masa depan agama bangsa dan negara di tangan kita... ... ..dan generasi yang akan datang merupakan amanah kepada kita...

Dan mampukah kita menjawab di hadapan Allah tentang keburukan, kemungkaran, kemaksiatan dan kelemahan yang diwariskan kepada generasi akan datang, yang mana kita turut mendapat bahagian dalam saham yang besar nilainya ini? Fikirkan dengan mata hati yang sentiasa dilimpahi nur Ilahi..

No comments:

Post a Comment