Tuesday, June 15, 2010

Tempe Oh Tempe

Adula, aku rindu sama tempe goreng cicah sambal kicap (for sure Hairun punye bikin).

Sini (Kota Kinabalu) susah cari. Teringat satu kisah pasal tempe. Mungkin kisah ini agak panjang dan telah pun diulang baca. Hayati..


Alkisah, ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ hidup seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Itu merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.



Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, baru dia sedari yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi (separuh jadi). Kebiasaannya tempe beliau telah menjadi sebelum sedia untuk dijual. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyata.. kesemuanya belum menjadi lagi!

Perempuan tua itu berasa sedih disebabkan tempenya yang masih belum menjadi dan pastinya ia tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah, terlintas akan kekuasaan Allah menyatakan bahawa tiada yang mustahil bagiNya. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, “Duhai Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin..” Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya.

Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengkabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Duhai Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe, kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin.”

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu, hari pun semakin meninggi. Sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Allah dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan menjadi.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Duhai Allah, aku percaya Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin.” Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dirinya terus menerus berdoa di dalam hati.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Naik darah gemuruhnya seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Allah tidak adil. Allah tidak kasihan padanya. Inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, dan para pengunjung sudah mula berkurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang.

Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan kepada Allah, pasti Allah membantuku. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kesekian kalinya, “Duhai Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Sementelah, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita setengah usia.

“Maaf ya makcik, saya ingin bertanya. Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”

Dia termenung dan terkesima seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya, "Duhai Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti ini juga, Amin.”

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi!

Dia merasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu. “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?”
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi mencari tempe yang separuh jadi, agar  apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang tidak busuk.


"Subahanallah..." Perempuan tua itu bersyukur dalam kehairanan.


***

Moral daripada kisah ini;


- Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

- Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percaya dengan sepenuh keyakinan, bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan.

-Tiada yang mustahil bagi Allah.

1 comment:

  1. sebut pasal makan, lapo la pulak perut malam2 cenggini.

    kepala terbayang tempe goreng.. mana nak dapat jack!

    ReplyDelete